KUALA TERENGGANU 4 Julai – Kerajaan negeri akan mengembalikan semula tanah-tanah yang diluluskan semasa penggal pemerintahan Pas mulai 1999 namun dikatakan telah ‘dirampas’ oleh kerajaan Barisan Nasional apabila kembali menguasai negeri pada 2004.
Tanpa menyebut jumlah kelulusan dan keluasan tanah berkaitan, beliau memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, pendirian itu bagi memenuhi janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Kerajaan negeri pada pentadbiran kali ini telah meletakkan manifesto untuk mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas BN selepas pemerintahan Pas 2004 dan membuka permohonan tanah baru dengan pemberian geran/hak milik yang sah,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika menggulung sesi perbahasan titah Sultan Mizan Zainal Abidin sempena pembukaan sidang DUN.
Beliau juga memberitahu sejak Januari 2014 sehingga Disember tahun lalu, kerajaan terdahulu telah memberikan 2,622 kelulusan tanah kepada individu.
Katanya, selain individu, terdapat tujuh lagi kategori penerima yang telah mendapat kelulusan di seluruh negeri dalam tempoh tersebut termasuk 168 kelulusan kepada agensi kerajaan negeri dan 98 kepada agensi kerajaan Persekutuan.
Di samping itu, sebanyak 53 kelulusan kepada syarikat-syarikat, 35 kelulusan kepada pertubuhan politik (UMNO), lima bagi koperasi, 12 bagi persatuan dan 3 kelulusan kepada institusi pendidikan tinggi awam. – UTUSAN ONLINE











