KUALA LUMPUR 14 Julai – Kerajaan perlu menambah beberapa lagi syarat tambahan bagi memastikan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dapat dikawal selia dengan berkesan.
Antara syarat tambahan ialah menyelaraskan warna dan jenis kenderaan yang digunakan untuk mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Penasihat Persatuan Perkhidmatan Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, selain itu kerajaan juga boleh memperkenalkan pelekat cukai jalan khas untuk kereta e-hailing dan pelekat khas untuk ditampal di badan kenderaan.
“Semua ini dapat meningkatkan keselamatan kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi, di sini semalam.
Pada 11 Julai lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 bagi memastikan kesaksamaan kepada industri teksi, .
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara syarat yang ditetapkan adalah semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata, selain warna khusus, pengklasifikasian jenis kenderaan juga perlu diwujudkan.
“Selain itu, mesti ada syarat atau undang-undang di mana mereka tidak boleh mengisi penumpang melebihi had seperti kenderaan persendirian. Janganlah sampai penumpang duduk beriba di dalam kenderaan yang mana itu sebenarnya berbahaya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











