KAZAN – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez mendakwa Brazil telah terjerat dengan taktikal skuad The Red Devils pada aksi suku akhir hingga menyaksikan mereka menang 2-1 di Arena Kazan awal pagi semalam.
Menurut bekas pengendali Everton itu, rancangan untuk meneutralkan jentera serangan Brazil berjaya dilaksanakan dengan sempurna oleh anak-anak buahnya selepas mereka memahami serta menterjemahkannya pada perlawanan tersebut.
“Saya adalah orang yang paling berbangga ketika ini. Ini kerana, rancangan saya sudah berjaya walaupun taktikal yang digunakan itu sangat sukar untuk dilaksanakan. Saya fikir, jika kami mahu menang, kami perlu menggunakan taktikal yang berisiko sekali gus menjadikan jentera serangan Brazil tumpul.
“Pada masa sama, para pemain juga harus percaya dengan diri sendiri dan berani membuat keputusan berisiko. Brazil akhirnya kembali menunjukkan mutu permainan mereka yang sebenar sehingga menyebabkan semua pemain terpaksa mengawal kubu pertahanan akibat serangan tanpa henti.
“Pada saat itu, perlawanan ini tidak lagi bergantung kepada taktikal, sebaliknya lebih kepada kepercayaan dan kekuatan mental para pemain. Banyak aspek positif ditunjukkan oleh pemain yang telah memberi keyakinan kepada saya bahawa kami mampu bertahan untuk ke pusingan separuh akhir,” katanya.
Belgium bakal berdepan Perancis pada pusingan separuh akhir, 11 Julai nanti.










