JOHOR BAHRU 23 Julai – Jangan memberi jawapan yang menunjukkan seorang Menteri Besar itu tidak memahami sesuatu isu, sekali gus tidak mampu memberi pertimbangan bagi pelbagai cadangan sama ada baik atau tidak untuk rakyat dan negeri ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seperti cadangan Barisan Nasional (BN) yang mahu kerajaan negeri mengambil alih syarikat air SAJ Ranhill Sdn. Bhd. (SAJ Ranhill), Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan kerajaan negeri tidak perlu menunggu tawaran daripada mereka.
Ini kerana, katanya, kerajaan negeri boleh mengambil alih menerusi pembelian saham syarikat Ranhill Holdings Bhd., sebuah syarikat senaraian awam yang sahamnya boleh dibeli dan merupakan pemegang saham terbesar SAJ Ranhill.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, Osman perlu ada ‘political will’ supaya kerajaan negeri mampu menguasai syarikat itu demi kepentingan rakyat dan negeri ini.
“Ini bukan satu isu yang diada-adakan dan memang kerajaan negeri BN sudah ada perancangan mahu menguasai semula pengagihan air dan itu juga sebab antara mengapa saya simpan rizab kerana mahu membeli syarikat air itu semula, proses itu sudah ada.
“Malah, syarikat kerajaan negeri sebelum ini sudah pun mempunyai 13 peratus pegangan dalam Ranhill dan 20 peratus dalam SAJ. Selain itu, saya juga pernah berbincang dengan Johor Corporation (JCorp) supaya menggunakan salah satu anak syarikatnya untuk beli…saya bukan main-main.
“Jadi, dia (Menteri Besar) sekarang patutnya bincang dan mencari jalan untuk mengambil alih atau naikkan pegangan saham kepada 51 peratus dan bukannya memberi jawapan yang menunjukkan dia tidak faham serta tidak melakukan pertimbangan cadangan itu ada baik atau buruk untuk rakyat Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini sebentar tadi.
Akhbar melaporkan, Osman menyifatkan saranan BN supaya kerajaan negeri mengambil alih SAJ Ranhill adalah hanya sengaja mahu menimbulkan isu selain beliau belum mendengar sebarang tawaran daripada mereka yang mahu menjual syarikat tersebut.
Mohamed Khaled berkata, cadangan BN itu dibuat kerana pada masa sekarang Johor berdepan dengan tarif paling tinggi selain tiada jaminan yang tarif tersebut tidak akan dinaikkan kerana penguasaan syarikat air bukan dalam kawalan kerajaan negeri.
“Jadi, sekarang dia fikirlah, lantiklah penasihat, jangan sendiri terus cakap kerana soal ini adalah untuk negeri Johor dan untuk rakyat Johor, air perlu ada dalam tangan kita…jadi kepada Osman, tolong ada ‘political will’,” katanya. – UTUSAN ONLINE










