Tabung selamatkan pusat tahfiz - Utusan Malaysia

Tabung selamatkan pusat tahfiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI seorang Melayu yang beragama Islam, saya amat terkesan dengan berita yang tular di laman-laman sosial mengatakan bahawa pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias akan menjual pusat tahfiz miliknya yang terletak di Manjoi, Perak.

Mengenali Mohd. Kazim menerusi ceramah-ceramah yang diadakan sama ada menerusi siaran radio, televisyen mahupun secara langsung di forum-forum rakyat, beliau sering kali menyentuh tentang tanggungjawabnya dalam memastikan pusat tahfiz di Pusat Pendidikan Al-Barakah miliknya itu terus dapat berperanan dalam melahirkan insan-insan kamil dan bertakwa.

Dan sudah semestinya usahanya itu bukan mudah. Pernah dikatakan bahawa beliau sanggup menerima jemputan ceramah setiap hari walaupun dalam keadaan dirinya kurang sihat.

Malah, beliau rela mengetepikan isu-isu peribadi semata-mata bagi menjamin pendapatan diperoleh dapat disalurkan kepada pusat pendidikannya itu. Justeru, berita yang diterima bahawa beliau terpaksa menutup pusat tahfiznya itu kerana masalah kewangan amat menyedihkan.

Antara punca keadaan ini berlaku ialah kerana sejak berlakunya pertukaran kerajaan, Mohd. Kazim tidak lagi menerima jemputan ceramah. Ini bermakna sumber pendapatan untuk menampung perbelanjaan pusat tahfiz tersebut kini tiada lagi. Saya percaya keputusan itu diambil dengan berat hati setelah pelbagai ikhtiar dilakukannya.

Dalam hal ini, kita mungkin boleh membantu. Jika negara ada Tabung Harapan Malaysia dan UMNO ada Tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak keterlaluan jika kita juga dapat mewujudkan Tabung Selamatkan Pusat Tahfiz Al-Barakah.

PENONTON SETIA

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN