Sungai Melaka laluan pahlawan
purbakala di sini bercampur darah
rakyat dan darah raja yang mangkat
di julang dalam hujan hiba yang
disula akibat fitnah sesama mereka
Sungai Melaka jadi laluan
Tuah lima bersaudara yang pembela kebenaran perkasa di perairan gagah di daratan padah jika dinafikan jasa si anak watan
Keberanian Tun Fatimah bergadai nyawa terkulai cintanya di birai istana demi rakyat dan negeri terkorban dirinya hidup bermaruah meski koyak luka hatinya
Di sini mudik Portugis membawa muslihat terpedaya pembesar istana menilai hajat
Melaka negeri penuh duga jadi idaman segala bangsa
semua empayar ingin menaklukinya
Tamadun bangsa terpatri di sini
peradaban Melayu dijulang ke aras tinggi akankah kembali lagi episod gemilang suatu hari nanti
untuk dihayati anak-anak generasi
Berdiri di sisimu mengenang silam
bijaksana bangsaku yang dilupakan orang kau disolek dan disarung baju teknologi pembangunan apakah jika sejarahmu dilupai
Sungai Melaka melakar sejarah dari hulu hingga ke muara jadi kebangaan bangsa senusantara
kata keramat “Tak kan Melayu hilang di dunia” pegang kukuhlah selama-lama
Roslan Madun
Wana Riverside, Melaka











