PUTRAJAYA 23 Julai – Pendedahan portal Malaysiakini mengenai sepucuk surat daripada Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu agak `membuka mata’ pelbagai pihak mengenai polisi luar dalam pentadbiran negara sebelum ini.
Surat bertarikh 4 Mei yang dihantar oleh Ketua Pengarah Bahagian berkenaan, Datuk Hasanah Ab. Hamid kepada Pengarah CIA, Gina Haspel itu antara lain meminta sokongan AS terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional (BN) menang mudah atau dengan bilangan kerusi yang sedikit.
Selain itu, surat berkenaan juga menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS berbanding Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin Pakatan Harapan disifatkan sebagai ‘anti-Barat’ dan ‘anti-Yahudi’.
Kandungan surat yang turut dikatakan bagi pihak Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO) itu juga membuat perbandingan antara polisi Dr. Mahathir semasa pentadbirannya sebelum ini dengan pentadbiran Najib yang dianggap sebagai sekutu AS yang kuat dan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara selain akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.
Najib dalam kenyataannya kepada Malaysiakini telah menafikan surat berkenaan dihantar atas arahannya kerana agensi kerajaan termasuk hal ehwal risikan mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.
Beliau juga mengakui tidak mengetahui mengenai kandungan itu namun menyatakan laporan media mengenai kandungan surat itu adalah berkenaan mendapat sokongan selepas memenangi pilihan raya dan bukannya untuk memenangi pilihan raya.
Bagaimanapun pelbagai pihak mengkritik surat berkenaan termasuk Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin; Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji yang turut menggesa siasatan oleh pihak berkuasa.
Berdasarkan laporan Malaysiakini, sumber pihak kerajaan mengesahkan surat berkenaan sebagai sahih dan perlu diingatkan juga bahawa kediaman seorang bekas pegawai wanita berpangkat tinggi di Jabatan Perdana Menteri merupakan antara premis yang diserbu pihak berkuasa pada pertengahan bulan Mei lalu.
Dalam pada itu, sumber yang rapat dengan bekas Perdana Menteri itu memberitahu, pendedahan tersebut amat mengejutkan namun di luar pengetahuan mereka yang telah bekerja selama bertahun-tahun dengan Najib.
Katanya, perkara-perkara sulit seperti itu tidak pernah dibincangkan bersama para pegawai yang dilantik atas lantikan politik sepertinya dan kerana melibatkan isu keselamatan negara dan hanya boleh dilakukan oleh pegawai tertinggi keselamatan.
Menurut sumber itu lagi, pengesahan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat oleh Dr. Mahathir dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Hasanah sendiri kerana isu-isu sulit seperti itu di bawah bidang kuasa mereka.
“Pendedahan ini sudah tentu mengejutkan namun telah dinafikan oleh ketua kami, kami tidak tahu menahu tetapi mungkin juga ia surat palsu yang bertujuan memalukan bos kami,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, sumber di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, adalah mustahil untuk seorang pegawai kerajaan menghantar surat kepada pihak lain untuk tujuan tertentu di luar pengetahuan Perdana Menteri.
“Mustahil surat itu boleh dihantar sewenang-wenangnya, biarpun tanpa perlu adanya tanda tangan Perdana Menteri tetapi mustahil tanpa restu daripadanya,” kata pegawai kanan tersebut tanpa mahu mengulas lanjut.










