KUALA LUMPUR 26 Julai – Kerajaan mengunjurkan sumbangan sektor francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat RM35 bilion pada 2020 berbanding RM27.7 bilion ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran berkenaan adalah realistik dan mampu dicapai berdasarkan trend semasa perniagaan francais yang semakin kukuh.
Jelas beliau, keyakinan itu bersandarkan kepada polisi sedia ada, sistem dan infrastruktur yang telah diuji keberkesanannya serta mendapat sokongan yang baik daripada pihak industri.
“Setakat Mei lalu sebanyak 863 syarikat francais daripada pelbagai sektor telah berdaftar di bawah kementerian dengan 40 peratus daripada sektor makanan dan minuman (F&B). Kita mahu meningkatkan lagi jumlah ini namun ia tidak boleh menjadi sandaran kepada pertumbuhan francais semata-mata.
“Sektor ini perlu dinilai berdasarkan kepada prestasi jualan dan pengembangan syarikat. Dua kombinasi ini perlu wujud agar perniagaan francais akan terus menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran pameran Rantaian Peruncit Malaysia (MIRF) 2018 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Penganjur MIRF 2018, Raymond Woo dan Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua.
Mengenai kawalan ke atas harga daging sempena musim perayaan Aidiladha, Saifuddin berkata, ia tidak tertakluk di bawah barang kawalan dan harga ditentukan berdasarkan kepada permintaan dan penawaran.
Katanya, jumlah import keseluruhan makanan negara pada tahun lalu berjumlah RM51 bilion sementara eksport makanan pula sebanyak RM31 bilion.
“Terdapat defisit bekalan makanan dalam negara yang menyebabkan sebahagiannya perlu diimport. Negara perlu berusaha untuk memastikan bekalan pengeluaran daging mencukupi supaya harganya berada pada tahap yang tidak membebankan pengguna.
“Kerajaan hanya boleh menasihat pengguna supaya gunakan hak mereka untuk buat pilihan dan membeli mengikut kemampuan,” katanya.










