PEMAIN tengah Pahang, Mohamadou Sumareh yang baru mendapat taraf warganegara Malaysia menyerahkan masa depannya kepada pengendali pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe sama ada mahu memanggilnya untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaysia.
Tanpa berselindung, Sumareh menegaskan, dia sudah bersedia untuk dipanggil bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan.
“Sudah menjadi impian buat semua pemain bola sepak untuk dipanggil dan beraksi dengan pasukan negara.
“Sebagai pemain, saya sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat sekiranya diperlukan oleh pasukan kebangsaan,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan sedia untuk membuka pintu kepada pemain naturalisasi beraksi bersama skuad kebangsaan.
Sumareh memberitahu, dia menyambut baik cadangan FAM itu dan bertekad untuk memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang.
Katanya, peluang tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk mempamerkan keupayaan sebenar dan membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.
Tonggak Tok Gajah yang berusia 23 tahun itu mendapat taraf kerakyatan Malaysia, April lalu dan pernah membarisi beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak penampilan pertama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.
Difahamkan, Sumareh menetap di negara ini sejak berusia 13 tahun lagi dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.
Sekiranya perkara itu berlaku, Sumareh bakal menjadi pemain naturalisasi pertama di negara ini.
Sebelum ini, pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan terdiri daripada Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim), Brendan Gan (Perak), Junior Eldstal (JDT II) dan Khair Jones (Melaka United).











