KOTA BHARU 30 Julai – Pemain tengah Pahang, Mohamadou Sumareh yang baharu mendapat taraf warganegara menegaskan dia sudah bersedia untuk dipanggil bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun pemain kelahiran Gambia itu menyerahkan kepada jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menentukan nasibnya dalam skuad kebangsaan.
“Sudah menjadi impian buat semua pemain bola sepak untuk dipanggil dan beraksi dengan pasukan kebangsaan.
“Sebagai pemain, saya sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat sekiranya diperlukan oleh pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan di antara Pahang dengan Kelantan di sini malam tadi.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan sedia untuk membuka pintu kepada pemain naturalisasi beraksi bersama skuad kebangsaan.
Pemain berusia 23 tahun itu memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.
Sumareh menetap dinegara ini sejak berusia 13 tahun lagi dan memulakan karier bola sepak profesional bersama pasukan Polis pada tahun 2013 mendapat kerakyatan Malaysia pada April lalu.
Sekiranya perkara itu berlaku, Sumareh bakal menjadi pemain naturalisasi pertama di negara ini.
Sebelum ini, pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan antaranya ialah Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak), Junior Eldstal (JDT II) dan Khair Jones (Melaka United).










