Sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel - Utusan Malaysia

Sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Julai – Tentera laut Israel dipercayai telah menawan kapal flotila Al-Awda yang membawa 116 kargo ubat-ubatan ke Gaza serta 22 anak kapal termasuk seorang sukarelawan Humanitarian Ca­re Malaysia (MyCare) dari Malaysia petang tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, pihaknya terputus hubungan dengan wakil tunggal sukarelawan Ma­laysia, Prof. Madya Dr. Mohd Afandi Salleh selepas kapal yang dinaikinya dihampiri empat buah kapal perang Israel pukul 7.15 petang tadi di 53 batu nautika (kira-kira 110.5 kilometer) dari pesisir pantai Gaza.

“Kita telah menghubungi agensi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan peguam di Israel untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berhubung kejadian ini.

“Saya berharap seluruh rak­yat Malaysia mendoakan keselamatan Mohd. Afandi dan semua ahli misi ini agar selamat sampai ke Gaza bagi memberi bantuan bekalan ubat-ubatan kepada penduduk Palestin di sana,” katanya ketika dihu­bu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Afandi Salleh telah mengikuti misi solidariti flotila ‘Right to A Just Future for Palestine’ bermula pada 15 Julai lalu.

Beliau merupakan Timbalan Dekan Fakulti Undang-Un­dang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berlepas ke Palermo, Italy bagi menyertai siri terakhir flotila ke Gaza bersama aktivis daripada pelbagai negara.

Kapal flotila Al-Awda yang berlayar menggunakan bendera Norway membawa 22 ak­tivis dari 16 negara terma­suk penyokong hak asasi manusia, wartawan dan krew turut membawa kargo ubat-ubatan bernilai Euro 13,000 (RM61,554) bagi diserahkan kepada penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.

Menariknya, kapal flotila Al-Awda ini merupakan kapal nelayan dari Norway yang telah diubah suai dan akan diserahkan kepada nelayan di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN