LOS ANGELES 24 Julai – Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge berkata, dia berasakan seperti berada di `rumah sendiri sekali lagi’ selepas menyinar sepanjang aksi pra-musim bersama Reds.
Pemain yang kerap dilanda kecederaan itu sebelum ini bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di Anfield di bawah Jurgen Klopp, setelah dia berdepan pelbagai halangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kehadiran Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane yang mempamerkan aksi cemerlang telah menjadikan laluan lebih sukar buat Sturridge untuk menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama di Merseyside.
Namun, Sturridge kelihatan bersedia untuk merebut tempatnya dalam skuad Liverpool, setelah penyerang itu mengakui dalam temubual, hari ini bahawa dia kini kembali berasakan dirinya seperti berada di rumah sendiri, selepas mempamerkan prestasi baik pada pra-musim.
“Saya kini menikmati keseronokan bermain bola sepak. Saya tidak boleh meminta lebih daripada itu. Saya suka berada di sini. Saya sukakan para pemain di dalam pasukan kami dan hubungan kami di dalam pasukan cukup luar biasa.
“Saya mula berasakan seperti kembali berada di rumah sendiri. Saya gembira dapat kembali dan bersedia untuk bekerja keras serta menjadi sebahagian daripada pasukan.
“Sewaktu saya dipinjamkan, banyak yang saya belajar. Ia satu pelajaran yang cukup berguna. Apabila anda dipinggirkan, banyak yang anda belajar tentang diri sendiri, pasukan, melihat mereka dari jauh dan menyaksikan bagaimana pasukan bermain.
“Anda boleh belajar lebih daripada itu, apabila berada di luar. Cita-cita saya ialah fokus kepada latihan dan bekerja keras sepanjang pra-musim. Saya tidak akan letakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri, pihak pengurusan ataupun rakan sepasukan. Saya cuma mahu berseronok,” kata Sturridge kepada laman web rasmi Liverpool.
Sturridge menghabiskan separuh kedua musim lepas dengan dipinjamkan ke West Brom. Dia tampil dalam enam perlawanan buat kelab yang telahpun tersingkir daripada kancah Liga Perdana Inggeris itu. – AGENSI










