KANGAR 27 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan seorang kakitangan Jabatan Perikanan negeri semalam kerana meminta dan menerima rasuah sebanyak RM4,000 sebagai balasan mempercepatkan proses perbaharuan lesen vesel seorang pemilik bot.
Pengarah SPRM negeri, Mohd Shukor Mahmud berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Kuala Sungai Baru kira-kira pukul 1.50 petang ketika sedang berurusan untuk menerima rasuah itu.
Katanya, semasa tangkapan, suspek meminta baki RM2,000 daripada pengadu yang juga pemilik bot tersebut manakala
RM2,000 lagi telah diberikan sebelum ini.
“Suspek ini merupakan individu yang menguruskan hal berkaitan perlesenan.
Suapan itu bertujuan untuk mempercepatkan proses perbaharuan lesen vesel pengadu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- UTUSAN ONLINE










