KUALA LUMPUR 5 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan telah membekukan akaun cucu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya tidak melakukan perkara tersebut.
“Akaun cucu Najib tidak pernah dibekukan,” katanya dalam laporan Sinar Harian di sini hari ini.
Terdahulu, anak perempuan Najib iaitu Nooryana Najwa dalam catatan Facebook mempersoalkan kewajaran pihak bank membekukan akaun anak lelakinya yang berusia 10 bulan selepas pihaknya membayar ikat jamin kepada bapanya.
Nooryana Najwa memberitahu, akaun anaknya itu hanya mengandungi RM100 yang merupakan duit raya pertamanya tahun ini.
Beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan baharu hari ini sangat berdendam sehingga ingin menyingkirkan kesemua anggota keluarganya.
Bukan itu sahaja, menurut Nooryana Najwa, akaun peribadi beliau yang digunakan untuk membayar yuran pembelajaran sendiri turut dibekukan. – UTUSAN ONLIN











