KUALA LUMPUR 13 Julai – FGV Holdings Bhd menjadi tumpuan spekulasi pasaran yang mendakwa syarikat itu sudah mengadakan beberapa siri perbincangan untuk melupuskan keseluruhan ekuitinya kepada entiti asing.
Menurut sumber pasaran, apa yang berlegar-legar dalam kalangan pemain industri ialah keputusan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad yang telah melupuskan dua atau tiga aset bukan teras serta yang dianggap tidak menguntungkan, kini bakal melepaskan ‘keseluruhan ekuiti’ FGV.
Selepas kembali daripada situasi kontroversi beliau dengan pengerusi FGV sebelum ini, Tan Sri Isa Abdul Samad yang menyaksikan Zakaria digantung tugas tetapi kemudiannya Isa pula ditukar ke SPAD, Zakaria menegaskan perlunya pengurusan FGV dibiar mengurus syarikat tanpa campur tangan politik.
Sejak itu, Zakaria berusaha gigih mengembalikan FGV kepada kedudukan kewangan yang stabil, termasuk dengan melupuskan aset FGV di luar negara untuk tujuan tersebut.
Usaha beliau kelihatan berhasil dan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, FGV merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) lebih 100 peratus kepada RM144 juta berbanding RM31 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada Mei baru-baru ini, Zakaria menafikan laporan International Palm Oil Monitor (Ipom) mendakwa dua syarikat, satu daripadanya mempunyai kaitan dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Satu lagi syarikat ialah usaha sama antara Tan Sri Peter Sondakh (Rajawali Group) dan wakil PT Gama Plantation, yang dimiliki taikun Cina Indonesia, Martua Sitorus, satu daripada pengasas Wilmar International Ltd. dilaporkan berhasrat menyuntik aset kepada saham FGV.
“Ia adalah kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak benar,’’ kata Zakaria dalam laporan kepada sebuah akhbar pada 4 Mei lepas.
Sondakh memiliki 37.6 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantations manakala saudara Sitorus, Ganda mempunyai aset perladangan yang besar seperti PT Agro Mandiri Semesta yang dikenali sebagai Gama Plantation dan PT Ganda Sawit Utama.
Ipom dalam laporannya itu mendakwa FGV akan mengumumkan penstrukturan dalam skala yang besar atau berlaku pengambilalihan yang dijangka dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lepas.
Nampaknya benar-benar tidak ada. Tetapi apakah hasrat pelupusan itu benar-benar sudah tamat? Atau masih disimpan, menanti detik sesuai selepas pemantauan tegas kerajaan Pakatan Harapan sekarang menurun sedikit masa lagi?
Menurut portal scoop.asia, pendirian Zakaria dalam konteks ini juga dilihat tidak komited untuk menolak sama sekali penjualan kepentingan saham FGV.
“Sebagai sebuah syarikat yang sedang berkembang, kami memang terbuka kepada sebarang peluang atau potensi untuk berkembang kepada masa depan.
“Setiap perancangan akan dinilai oleh pihak pengurusan sebelum dibawa ke peringkat Lembaga Pengarah dan jika perlu melibatkan keputusan pemegang saham, kami akan lakukannya mengikut proses yang ditetapkan,’’ kata Zakaria.
Oleh kerana desas-desus tersebut timbul pada laman web Ipom, dan bukan mana-mana akhbar arus perdana atau portal Malaysia, ramai pemerhati industri berpendirian urus niaga itu tetap akan dimuktamadkan pada bila-bila masa sesuai.
Fokus perbincangan dalam industri ialah kepada siapa paling layak saham FGV dilepaskan? Tempatan atau asing?
Tentu sekali pendirian semasa rakyat Malaysia bakal menyaksikan mereka mahu transaksi berlangsung dalam kalangan syarikat Malaysia, bukan terlepas kepada pihak asing.
Persoalannya, desas-desus mengatakan FGV kini tertumpu kepada cadangan daripada entiti asing semata-mata. Apakah benar-benar tiada syarikat tempatan berminat?
Selain syarikat berkaitan Tan Sri Syed Mokhtar itu, spekulasi pasaran turut menamakan satu lagi konglomerat iaitu Sime Darby Plantations Berhad sebagai pihak yang berminat menguasai saham FGV.
FGV perlu memberi penjelasan telus dalam hal ini kerana soal melupuskan saham syarikat itu bukan sekadar urus niaga korporat tetapi begitu dekat kepada hati peneroka Felda di seluruh negara.











