KUALA LUMPUR 21 Julai – Beregu campuan negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemei Lai menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke final badminton Terbuka Singapura selepas menundukkan pasangan Thailand, hari ini.
Pasangan yang sebelum ini mengalami penurunan prestasi selepas sering terkandas di pusingan awal menunjukkan peningkatan ketara dengan menundukkan Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 21-14.
Begitupun cabaran getir menanti pasangan negara esok kerana bakal berdepan beregu No. 1 dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia. Tontowi-Liliyana mara selepas menyingkirkan rakan sengara, Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow 26-24, 21-17.
Pertembungan esok akan menjadi pertemuan pertama buat kedua-dua pasangan itu dan sudah pasti Tontowi-Liliyana yang pernah menjadi juara dunia dua kali serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan.
Pasangan Indonesia itu kini berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan kedua berturut-turut tahun ini selepas menjuarai Terbuka Indonesia, minggu lalu. – UTUSAN ONLINE









