SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan parti itu tidak sedikit pun tergugat dengan permintaan Pas pusat yang mahu ahlinya mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
Beliau berkata, sokongan terbuka yang dibuat Pas itu tidak akan menjejaskan sokongan pengundi dan peluang calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yang juga mempunyai tauliah sebagai seorang ustaz mampu memenangi PRK DUN Sungai Kandis.
“Saya rasa tidak (jejaskan parti). PRK ini adalah antara UMNO dan PKR. Pas sudah pasti akan memberi sokongan.
“Tetapi pandangan saya, calon kami akan menarik pengundi dan mereka (pengundi) akan beri kami sokongan seterusnya mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang bersama pengundi di Bilik Gerakan PKR di sini hari ini.
Kelmarin Ahli Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali meminta pengundi Pas di Sungai Kandis untuk memilih Lokman selepas menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak menegakkan serta menjaga agama Islam.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lokman, Mohd. Zawawi dan calon bebas, K. Murthy. Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mat Shuhaimi Shafie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu. – K! ONLINE










