KUALA LUMPUR – Selepas ditahan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu, pelakon Soffi Jikan memberitahu kehidupannya tetap berjalan seperti biasa walaupun tiada tawaran berlakon.
Bagaimanapun, Soffi diberi kepercayaan memegang watak hero dalam sebuah filem seram berjudul Jodoh Syaitan yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.
Soffi atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan, 47, akan melakonkan watak lelaki romantik dan bergandingan dengan pelakon baharu jelita, Aprena.
“Alhamdulillah, ini adalah permulaan baharu buat diri saya selepas badai yang melanda diri awal tahun ini. Masih lagi ada peluang untuk saya dalam industri. Terima kasih kepada produser, Mokharul Shamsul Mokhtar yang percaya dengan bakat saya.
“Sejujurnya, selepas apa yang berlaku saya hilang segala-galanya termasuk tawaran berlakon dan rakan-rakan. Ada projek lakonan yang sudah ada kontrak pun terpaksa dibatalkan atas salah faham yang timbul sebelum ini,” kata pelakon filem Rock itu ketika ditemui Kosmo! pada pelancaran filem Jodoh Syaitan terbitan syarikat Da Motion Media malam tadi.
Mengulas lanjut tentang kehidupannya kini, Soffi berkata, dia sentiasa positif dan tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.
“Saya serahkan kepada mahkamah. Bulan November nanti tiba giliran saya untuk dibicarakan. Saya okey sahaja dan tiada sebab untuk bermusuhan atau berdendam dengan orang lain.
“Tiada tawaran berlakon, saya menjalankan perniagaan Bitcoin dan masih menjual minyak wangi. Rezeki itu luas kerana apapun yang berlaku, saya akan terus positif,” jelas Soffi.
Terdahulu, pelakon itu diberkas ketika hadir untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.
Selain Soffi dan Aprena, ramai pelakon hebat lain yang turut terlibat dalam filem Jodoh Syaitan arahan pengarah Bob Hashim itu seperti Abam Bocey, Jay Iswazir, Wan Hanafi Su dan Fauziah Nawi. – K! ONLINE










