SkyWorld nafi Residensi Sky Awani 1 guna cat kualiti rendah - Utusan Malaysia

SkyWorld nafi Residensi Sky Awani 1 guna cat kualiti rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Skyworld Development Group (SkyWorld) menafikan dakwaan pihaknya menggunakan cat tidak berkualiti pada kediaman Residensi Sky Awani 1, Sentul di sini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasinya, Lee Chee Seng berkata, penggunaan warna pada Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) itu dipilih berdasarkan kajian dan keputusan arkitek bangunan selain dipersetujui oleh majoriti pembeli.

“Isu cat tidak berkualiti tidak sepatutnya timbul kerana pihak kami menggunakan cat berjenama terbaik di pasaran yang disahkan tahan lebih lama dalam pelbagai jenis cuaca.

“Keputusan memilih warna itu juga dibuat berdasarkan warna yang popular dan menjadi trend di Eropah pada masa kini,” katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan di Sky Awani 1, hari ini.

Pada 12 Julai lalu, pembeli unit di kediaman Residensi Sky Awani 1, K. Chandran mendakwa sebahagian daripada pembeli tertipu selepas bangunan kediaman menempatkan 1,226 unit itu tidak dicat seperti warna asal yang dijanjikan di dalam risalah dan rumah contoh.

Ditanya mengenai tindakan Chandran itu, beliau berkata, pihaknya mempertikaikan motif Chandran apabila mengadakan sidang akhbar yang hanya dihadiri oleh tiga pembeli dan tidak mewakili seramai 1,226 jumlah pembeli yang lain.

Lee berkata, pemilihan warna itu juga dipersetujui oleh wakil Kementerian Wilayah selepas mengadakan kunjungan ke perumahan bertingkat itu pada 17 Mei lalu.

“Kami juga telah membuat kaji selidik ke atas pembeli unit dan majoriti daripada mereka bersetuju terhadap pemilihan warna tersebut yang menerapkan elemen alam sekitar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Residensi Sky Awani 1, beliau berkata, ia merupakan Rumawip pertama yang mendapat pengiktirafan dengan memperoleh sebanyak 76 markah bagi Standard Qlassic.

“Walaupun kediaman ini dibina di bawah kategori rumah mampu milik, tetapi pelbagai fasiliti bertaraf kondominium disediakan SkyWorld antaranya kolam renang, gymnasium, gelanggang badminton, futsal, bola keranjang dan sepak takraw, surau serta bbq pavilion,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN