PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan kegiatan sindiket Wak Jam yang aktif menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen pasport dengan tertangkapnya dalang utama di sebuah rumah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek utama warga Indonesia berusia 58 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam dan hasil siasatan mendapati suspek mempunyai kepakaran membuat pengubahsuaian pasport terutama pasport Indonesia.
“Suspek akan menukar gambar pemilik asal pasport dan mengubah maklumat biodata kepada pemilik baru yang kelihatan 95 peratus hampir sama dengan pasport tulen.
“Seterusnya, pasport tersebut akan diturunkan cop keselamatan Imigresen sama ada cop masuk atau keluar mengikut permintaan pelanggan yang kebanyakannya warga Indonesia yang tinggal melebihi masa di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Mustafar, siasatan lanjut mendapati suspek yang ditahan itu juga kreatif membuat pengubahsuaian menggunakan bahan pewarna kek pelbagai warna untuk membuat penukaran pada gambar pasport.
“Sindiket Wak Jam yang dikesan beroperasi sejak tiga hingga lima tahun lalu itu dipercayai mampu mengaut keuntungan sekitar RM50,000 sebulan.
“Sindiket terbabit mengenakan bayaran sebanyak RM50 bagi setiap cop manakala RM100 hingga RM200 bagi pengubahsuaian pasport,” katanya.
Tambah beliau, walaupun pasport yang diubahsuai kelihatan hampir sama dengan pasport asli, namun pegawai Imigresen dengan kerjasama Kedutaan Indonesia berjaya mengenalpasti pemalsuan yang dilakukan.
“Hasil serbuan yang dilakukan telah menjumpai 22 cop palsu masuk Malaysia, sembilan cop palsu keluar Malaysia, dua cop pas khas palsu Malaysia, dua cop palsu keluar Singapura, dua cop masuk palsu Singapura, 14 cop palsu masuk Indonesia, 21 cop palsu keluar Indonesia, enam cop rasmi, dua telefon bimbut dan alatan membuat dokumen palsu,” katanya.
Tambah Mustafar, selain pasport palsu sindiket itu turut mengubahsuai pas lawatan kerja sementara yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dan menggunakannya di pintu masuk utama termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan Pelabuhan Klang.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 55D dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966. – K! ONLINE










