KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan pelbagai dokumen dikenali sebagai Ah Boy yang dipercayai telah aktif sejak tiga tahun lalu selepas melakukan serbuan di dua premis menjual telefon bimbit di Chow Kit, di sini pada Ahad lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tiga lelaki tempatan dan dua wanita Indonesia yang bertindak selaku pembantu sindiket ditahan setelah serbuan dilakukan oleh Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Serbuan yang dilakukan pada pukul 3.30 hingga 4.30 petang itu menahan kesemua suspek berkenaan yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 38 tahun.
“Mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan menjual Surat Kebenaran Bekerja Dengan Syarikat Lain, pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Lampiran Biodata Pasport palsu dan memproses serta menjual I-Kad palsu,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua bayaran bagi perkhidmatan tersebut bermula dengan harga RM30 hingga RM180 bergantung pada khidmat yang ditawarkan. – K! ONLINE











