KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat di Parlimen sesi petang yang sepatutnya disambung pada pukul 2.30 petang tadi tertangguh hampir 10 minit apabila sebahagian ahlinya bersidang tidak masuk dewan tepat pada masanya.
Perkara ini berlaku ketika Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali ingin menyambung bahasnya mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tertangguh pada sesi pagi tadi.
“Tidak cukup ‘kuorum’, Tuan Speaker saya minta tangguh,” jelasnya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menyatakan aturan mesyuarat sekiranya Ahli Parlimen tidak cukup 2/3 persidangan boleh ditangguhkan.
“Ahli Parlimen tidak cukup 2/3 daripada 35 ahli yang hadir hari ini, saya tangguh persidangan dua minit lagi,” jelas Mohamad Ariff.
Sidang Dewan Rakyat kemudiannya disambung pada pukul 2.40 petang setelah Ahli Parlimen cukup 2/3 daripada ahli yang hadir pada hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meluahkan rasa tidak puas hati beliau terhadap kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen.
Namun, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau tidak bercadang untuk menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi mengukur prestasi Menteri dan Timbalan Menteri menjalankan tugas di Parlimen. – K! ONLINE










