KOTA KINABALU 14 Julai – Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) diminta untuk mempertimbangkan dan menerima bayaran pendahulan sebanyak RM3 juta bagi membolehkan bekalan penghawa dingin di pusat beli-belah terkemuka, 1Borneo Hypermall (1Borneo), di sini, dapat disambung semula.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Azhar Mathusin berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada pengurusan baharu pusat beli-belah tersebut untuk meneruskan operasi demi kelangsungan peniaga.
Beliau berkata, baki tunggakan bil tersebut akan dibayar secara ansuran berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak.
“Pihak SESB ada menawarkan pihak pengurusan 1Borneo untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM5 juta daripada jumlah keseluruhan RM8.7 juta bagi membolehkan penyambungan semula bekalan elektrik.
“Bagaimanapun jumlah itu terlalu banyak dan saya telah berunding dan merayu pihak SESB agar dapat dikurangkan kepada RM3 juta sebagai bayaran pendahuluan,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.
Dalam pada itu, Azhar berkata, pihak pengurusan 1Borneo perlu membayar wang pendahuluan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan sekiranya pihak SESB bersetuju dengan perjanjian berkenaan.
“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan secara bersama demi kepentingan semua pihak khususnya penduduk setempat yang bekerja di pusat beli-belah ini sekali gus memberi kesan kepada ekonomi.
“Sekiranya pihak SESB bersetuju dengan jumlah itu, pihak 1Borneo perlu berusaha membayar wang pendahuluan seperti yang dipersetujui,” ujarnya.
Pada Rabu lalu, SESB bertindak memotong bekalan penghawa dingin kerana pihak pengurusan 1Borneo gagal melunaskan baki bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM8.7 juta daripada jumlah keseluruhan RM9.3 juta.
Pihak SESB, memotong bekalan penghawa dingin berkenaan selepas mendapati pengurusan gedung tersebut hanya membayar hutang sebanyak RM705,000 pada 27 Jun lalu.
Jumlah bil elektrik berkenaan dikatakan telah tertunggak selama setahun dan tindakan memotong bekalan utiliti itu adalah termaktub di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990. – UTUSAN ONLINE











