Seronok bermain dengan nombor - Utusan Malaysia

Seronok bermain dengan nombor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selama kira-kira tiga hari Wan Nur Mafudah Wan Yusof, 21, asyik tersenyum meleret. Setiap kali keluar masuk Kolej Intec Education, Shah Alam, Selangor, gadis yang selama ini berwatak serius mengundang aneh apabila tidak berhenti tersenyum kepada sesiapa sahaja termasuk para pelajar dan jaga tanpa mereka ketahui gerangan puncanya.

E-mel bertarikh 19 Januari 2018 daripada penganjur peperiksaan antarabangsa Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) itu yang memaklumkan dirinya meraih tempat pertama di dunia dalam peperiksaan ACCA disimpan kemas daripada pengetahuan rakan-rakan.

Namun, berita sebesar itu mana mungkin dapat lama disorok. Kejayaan itu kemudian tersebar di kolej menerusi pensyarah sebelum Februari lalu, akhbar-akhbar dan netizen bergegak gempita di media sosial melaporkan: Wan Nur Mafudah anak Melayu pertama gondol tempat pertama ACCA. ACCA merujuk kepada pengajian atau peperiksaan perakaunan profesional yang berpusat di London, Britain.

Menurut laporan akhbar, Wan Nur Mafudah mendapat tempat pertama di dunia bagi kertas Laporan Kewangan Korporat ACCA. Kejayaan tersebut menobatkan gadis bijaksana itu sebagai anak Melayu pertama yang berjaya mendapat tempat teratas di peringkat dunia ACCA dengan memperoleh markah 95 peratus.

Sebelum ini, kejayaan tertinggi yang pernah dicapai oleh beberapa anak Melayu ialah tempat kedua, ketiga dan keenam dalam ACCA.

“Saya sejenis orang yang tidak suka mendedahkan pencapaian atau markah kepada orang lain. Apabila saya mendapat e-mel daripada ACCA mengatakan saya meraih tempat pertama saya terlalu gembira sehingga banyak tersenyum. Saya tidak beritahu kawan-kawan mengenainya.

“Sejurus semua orang tahu, saya terus berhenti tersenyum-senyum. Saya kembali menjadi diri yang normal,” katanya bernada sedikit jenaka ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

Peperiksaan sukar

Begitulah keperibadian Wan Nur Mafudah yang merendah diri, serius dan tidak gemar mencipta riuh. Anak gadis dari Kampung Jawek, Besut, Terengganu itu selesa untuk mengunci mulut berhubung kejayaannya. Pelajar jurusan perakaunan di kolej tersebut yang jarang berenggang dengan mesin kalkulator ini bercita-cita untuk menjadi pensyarah perakaunan.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 8A1B itu sebelum ini memasuki Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur bagi mengikuti pengajian perakaunan selama setahun setengah.

Menurutnya, minat dalam bidang itu bertambah semasa di kolej tersebut dan berjaya memperoleh biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyambung pengajian ACCA di Kolej Intec Education.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka mendapat keputusan ini apatah lagi mendapat tempat pertama di dunia. Saya cuma menyasarkan untuk lulus.

“ACCA ialah peperiksaan yang sering dianggap amat sukar. Kadar yang lulus juga hanya 49 peratus. Ini bermakna kurang separuh yang lulus daripada ribuan yang mendudukinya di seluruh dunia.

“ACCA dikenali sebagai pengajian atau peperiksaan profesional yang berpotensi besar untuk gagal. Ia diambil oleh pelajar-pelajar hampir di seluruh dunia,” katanya yang pernah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ACCA di Birmingham University, Britain namun menolaknya.

Mendepani pengajian yang sukar, Wan Nur Mafudah berkata, tekanan diredakan dengan mengamalkan membaca al-Quran empat muka surat setiap hari.

Baca al-Quran

“Mengikuti pengajian ini, masa saya begitu padat jadi saya cuma ada waktu selepas Subuh dan Maghrib untuk membaca al-Quran. Saya amalkan membaca sekurang-kurangnya dua muka surat selepas solat Subuh dan dua lagi selepas Maghrib.

“ACCA memerlukan pemahaman yang sangat tinggi. Apabila membaca al-Quran otak akan mudah memproses maklumat. Saya rasa ia telah terbukti,” katanya yang mengamalkannya sejak menuntut di MRSM Besut.

Gadis berkaca mata itu berkata, antara kunci kejayaannya juga ialah berusaha untuk belajar tanpa tekanan.

“Saya pernah belajar sehingga menangis untuk memahami sesuatu prinsip dalam perakaunan. Saya dapati apabila saya terlalu memaksa dan meletakkan sasaran, saya akan sukar untuk memperoleh keputusan yang baik.

“Tetapi, apabila saya kurangkan tekanan itu, pemahaman menjadi lancar. Kemudian, saya mengajar pula rakan-rakan yang lain, dengan cara itu saya akan menjadi lebih faham dalam pelajaran.

“Sudah tentu saya mempunyai kawan-kawan karib, namun, saya sering ke mana-mana bersendirian sehingga digelar Lone Ranger oleh rakan-rakan,” ujarnya yang sering dianggap orang sebagai tegas dan garang.

Wan Nur Mafudah bukan datang daripada keluarga akauntan atau ahli akademik. Berasal dari keluarga sederhana di Besut, bapanya, Wan Yusof Wan Abdullah, 53, ialah seorang kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) manakala ibunya, Zainah Zakaria, 55, seorang suri rumah.

Minatnya kepada bidang perakaunan banyak berakar-umbi daripada kecintaannya terhadap angka dan mata pelajaran matematik sejak kecil.

“Saya rasa seronok bermain dengan nombor. Matematik bagi saya seperti mempunyai keajaiban. Apabila anda mengira mengikut formulanya dan anda akan mendapat jawapannya,” katanya.

Sejak didedahkan dengan subjek Prinsip Akaun semasa di tingkatan empat, minat terhadap bidang perakaunan menyubur.

“Semuanya juga kerana angka. Apabila saya mengenali buku lejer dan didedahkan dengan penyata kewangan yang memerlukan meletakkan nombor-nombor sebelum melakukan imbangan, saya rasa begitu menyeronokkan,” katanya.

Jimat cermat

Ibu bapanya pada peringkat awal berat hati untuk dia mengikuti jurusan perakaunan apatah lagi pengajian profesional ACCA kerana ia terkenal dengan kesukaran, kos yang tinggi selain kurang didedahkan mengenainya di kampung.

“Mungkin juga mereka mahu saya mengikuti pengajian seperti anak-anak orang lain mengambil diploma atau ijazah sarjana muda. Tetapi saya dapat biasiswa untuk mengikutinya. Alhamdulillah, saya berjaya membuktikannya. Kini, mereka pula yang malu untuk ke kedai kerana terlalu ramai yang memperkata dan memuji gara-gara kejayaan saya itu.

“Prinsip hidup saya ialah sekali melangkah ke dalam sesuatu situasi itu, langkah harus diteruskan,” katanya.

Akui Wan Nur Mafudah, bidang itu mengajarnya supaya lebih banyak berjimat cermat dan menghindari berbelanja perkara yang tidak perlu.

Menjadi anak Melayu pertama meraih tempat pertama dalam ACCA, Wan Nur Mafudah berkata, dia berharap kejayaannya itu mendorong lebih ramai kaum Melayu yang menceburi bidang tersebut.

“Semua orang fikir bidang perakaunan itu dikuasai oleh kaum lain. Kaum Cina Malaysia sudah pun meraih tempat pertama di dunia sebelum ini dalam ACCA.

“Jadi, apabila saya meraih keputusan ini saya harap ia boleh memotivasikan anak-anak muda untuk mencapai kejayaan yang sama. Sebenarnya, apa yang perlu anda lakukan ialah membuang tanggapan yang sudah melekat di minda bahawa orang Melayu tidak mampu berjaya dalam bidang ini,” ujarnya.

Anak Melayu pertama No. 1 dunia dalam ACCA, Wan Nur Mafudah yang mengamalkan membaca al-Quran setiap hari sebenarnya sekadar menyasarkan lulus dalam peperiksaan perakaunan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN