KUALA LUMPUR 23 Julai – Ketua kontinjen Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi menegaskan bahawa pasukan sepak takraw negara tidak akan menarik diri daripada temasya itu meskipun sedang berdepan masalah mengenai acara yang akan disertai mereka.
Difahamkan ketika ini, Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (Inasgoc) kekal dengan keputusan mereka untuk tidak membenarkan kontinjen negara beraksi dalam acara regu berpasukan dan mereka hanya dibenarkan untuk beraksi dalam acara regu dan beregu berpasukan.
Walaupun sebelum ini Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah mengemukakan rayuan untuk bertanding dalam acara tersebut namun pihak penganjur tidak membuat sebarang perubahan dalam jadual pertandingan selain dilihat kekal dengan keputusan mereka.
Abdul Azim berkata, banyak lagi proses yang perlu dilalui meskipun temasya itu akan berlangsung dalam beberapa minggu lagi dan pihaknya menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya.
Katanya, isu seperti itu biasa berlaku kerana Sukan Asia merupakan sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik, jadi masalah akan berlaku tetapi boleh diselesaikan.
“Saya ada berhubung dengan Datuk Seri Ahmad Ismail mengenai perkara ini dan dia memberitahu saya bahawa sepak takraw tidak akan menarik diri, jadi saya pun tidak pasti dari mana datang isu tarik diri ini.
“Presiden sepak takraw Indonesia akan datang ke Kuala Lumpur selepas ini dan saya bersama Presiden dan Setiausaha MOM akan cuba bertemu dengannya untuk menyelesaikan masalah ini.
“Sekiranya tidak berjaya, kita akan membawa perkara ini ke panel timbang tara, kebiasaannya panel ini akan ada sebelum bermulanya sesebuah temasya, jadi perkara ini akan di bawa ke sana,” katanya selepas mengadakan lawatan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Abdul Azim juga menegaskan bahawa pihaknya tidak melakukan sebarang kesilapan dalam isu tersebut dan mengikut semua garis panduan yang sudah ditetapkan.
“Sekarang ini adakah kita ingin mencari salah siapa atau ingin mencari jalan untuk memastikan sepak takraw dapat bertanding di Sukan Asia?
“Seandainya kesilapan itu berlaku daripada pihak saya, saya akan mengaku tetapi buat masa sekarang kita akan berusaha mencari jalan penyelesaian,” katanya.










