Senator BN mampu 'usik' kerajaan di Dewan Negara - Utusan Malaysia

Senator BN mampu ‘usik’ kerajaan di Dewan Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai -‘Kerajaan Pakatan Harapan mungkin menghadapi masalah di Dewan Negara kerana ia dikuasai oleh Senator dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta parti-parti yang dulunya bergabung atau bersimpati dengan BN’.

Itu yang ditulis oleh Tokoh Wartawan Negara, A. Kadir Jasin dalam artikel bertajuk ‘Dewan Negara dikuasai BN, Harapan mungkin ada masalah’ dalam blog beliau semalam.

Bagaimanapun pakar undang-undang berpendapat walaupun ketika ini 30 daripada 70 senator yang dilantik di Dewan Negara merupakan penyokong BN namun masalah yang akan ditimbulkan tidaklah sehingga boleh membatalkan sesebuah rang undang-undang yang diusulkan oleh kerajaan.

Dr. Shamrahayu Abdul Aziz
Dr. Shamrahayu Abdul Aziz

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, walaupun senator-senator di Dewan Negara mempunyai fungsi untuk meluluskan sesebuah rang undang-undang namun kuasa yang ada pada mereka adalah terhad berbanding kuasa ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Dr. Shamrahayu menjelaskan, senator yang tidak berpihak kepada Pakatan Harapan tidak mempunyai kuasa untuk mem’veto’ atau membatalkan sesebuah rang undang-undang tetapi mereka boleh melengah-lengahkan kelulusannya untuk tempoh tidak melebihi satu tahun.

“Dalam erti kata, kalau tidak melibatkan peruntukan kewangan, Dewan Negara hanya boleh menangguhkan rang undang-undang dengan menghantar semula ke Dewan Rakyat. Ia mengambil masa satu tahun sahaja.

“Maknanya Dewan Rakyat boleh meluluskan rang undang-undang dengan pindaan atau tanpa pindaan sebagaimana dicadangkan oleh Dewan Negara itu tidak melebihi satu tahun,” jelas Dr. Shamrahayu ketika dihubungi oleh Utusan Online hari ini.

Jelas pakar Perlembagaan itu, bagi rang undang-undang berkaitan kewangan, Dewan Negara hanya mampu menangguhkan kelulusan dalam tempoh sebulan.

“Kalau melibatkan kewangan hanya satu bulan sahaja dan ia akan dibahaskan semula di Dewan Rakyat. Dan Dewan Rakyat boleh terus meluluskannya dalam masa satu bulan walaupun tanpa persetujuaan ataupun tidak melakukan pindaan seperti yang dicadangkan oleh Dewan Negara ia boleh diluluskan begitu sahaja,” kata Dr. Shamrahayu.

Bagaimanapun Shamrahayu berpendapat semua pihak perlu bersangka baik dengan senator-senator yang dilantik yang akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan negara dan bukannya politik.

Dr. Muhammad Fathi Yusof
Dr. Muhammad Fathi Yusof

Sementara itu, Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, bagi mengelakkan berlaku isu penangguhan kelulusan sesebuah rang undang-undang di peringkat Dewan Negara, kerajaan perlu melakukan perbincangan awal dengan parti politik lawan.  

“Antara penyelesaian terbaik sekiranya kerajaan merasakan wujud keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu atau meminda undang-undang sedia ada melalui rang undang-undang pindaan mana-mana akta maka kaedah yang terbaik ialah membuat perbincangan dengan parti-parti politik lain.

“Walaupun kaedah ini belum pernah dilaksanakan tapi bagi saya jika ia penting untuk kebaikan negara dan rakyat ia perlu dilaksanakan, sekaligus dapat mengalakkan kaedah berpolitik secara matang dan sihat di antara parti-parti politik,” Dr. Muhammad Fathi.

Sehingga 12 Jun lalu, 30 daripada 70 ahli Dewan Negara adalah wakil BN (22 Umno, 5 MCA dan 3 MIC). GPS ada 3, bebas 3, Gerakan 2, PAS 2 manakala PLF, United Alliance, PBS dan LDP seorang ahli setiap satu.

Seramai 26 daripada 70 senator dipilih melalui pengundian oleh negeri dengan 2 senator setiap negeri di Persekutuan dan 44 lagi dilantik dan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong.

Setiap senator mempunyai tempoh jawatan selama tiga tahun dan hanya boleh dipilih semula sekali sahaja, berturut-turut atau pun tidak.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN