KUALA LUMPUR 31 Julai – Selepas membuat laporan polis berhubung kegagalan memperoleh baki bayaran berjumlah RM15,000 baru-baru ini, akhirnya Mawar Rashid, 23, berasa lega apabila tunggakan tersebut dilunaskan oleh penghutang terbabit.
Mengakui niatnya bukanlah untuk mengaibkan sesiapa, Mawar menjelaskan bahawa tindakannya itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga serta memberi amaran kepada pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap orang lain.
“Setelah berita mengenai laporan polis yang dibuat tular di media sosial dan memaklumkan kepada si penghutang, barulah bayaran itu dibuat.
“Saya tidak menggertak tanpa sebab, cuma mahu wanita itu membuat bayaran sebagaimana yang dijanjikannya sewaktu menawarkan kerja kepada saya,” beritahunya.
Terdahulu, Mawar telah bersetuju menerima satu tawaran bagi menjayakan kempen iklan produk makanan segera selepas perjanjian bersama dicapai kedua-dua belah pihak.
Namun, sesudah memberikan komitmen kerja yang dipersetujui, Mawar mendapati wanita berkenaan culas melunaskan bayaran meskipun telah melanjutkan tempoh pembayaran dari tarikh sepatutnya.
“Sebagai selebriti, kami terdedah dengan pelbagai bentuk penipuan terutama apabila menjalin kerjasama dengan individu yang baru hendak menceburi bidang bisnes hiburan (showbiz),” ujarnya.
Justeru, Mawar menasihatkan setiap urusan yang dilakukan perlu dibuat secara profesional dan didokumenkan bagi mengelak timbul masalah di kemudian hari. – UTUSAN ONLINE










