KUALA LUMPUR – Aktiviti pengambilan pekerja secara online di Malaysia merosot pada permulaan suku kedua 2018, demikian menurut kaji selidik daripada Indeks Pekerjaan Monster (MEI).
MEI yang dijalankan oleh Monster Malaysia merupakan sejenis pengukur bulanan untuk aktiviti pengumuman pekerjaan secara online, berdasarkan semakan masa nyata ke atas berjuta-juta peluang pekerjaan majikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com bagi rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah, Abhijeet Mukherjee berkata, kadar itu turun sebanyak enam peratus dan 12 peratus tahun ke tahun masing-masing pada bulan April dan Mei.
“Hanya dua daripada sembilan industri yang dipantau oleh MEI menyaksikan pertumbuhan tahunan yang positif dalam tempoh dua bulan tersebut.
“Ia merupakan sektor minyak dan gas (O&G) yang terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sejak bulan April 2017, sekali lagi meningkat 11 peratus tahun ke tahun pada April dan 14 peratus pada bulan Mei 2018.
“Seterusnya, adalah sektor teknologi maklumat (IT) yang meningkat sebanyak lapan peratus tahun ke tahun pada bulan April dan mencatatkan pertumbuhan marginal satu peratus tahun ke tahun pada bulan Mei,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Abhijeet menjelaskan, aktiviti pengambilan pekerja secara online di Malaysia mempamerkan kelembapan relatif menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018 disebabkan ketidakpastian politik dan ekonomi.
Tambah beliau, industri O&G terus menerajui pertumbuhan tahunan yang positif apabila penganalisis mengunjurkan prospek yang lebih baik bagi pemain huluan dan hiliran dalam sektor tersebut.
“Industri teknologi juga terus berkembang di Malaysia dengan kesan transformasi digital ke atas ekonomi dijangka meningkat dengan ketara sebanyak RM400 bilion menjelang tahun 2025,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut kaji selidik yang sama, industri runcit kekal sebagai yang terburuk antara kesemua sektor pekerjaan dalam tempoh tiga bulan yang lalu, dengan mencatatkan penurunan 41 peratus pada bulan Mei, diikuti sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans menyusut 30 peratus.









