Saya tidak goyang, yakin pengundi Pas pilih calon PKR - Mohd. Zawawi - Utusan Malaysia

Saya tidak goyang, yakin pengundi Pas pilih calon PKR – Mohd. Zawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni mendakwa beliau tidak goyang sekiranya Barisan Nasional (BN) mahu mengadakan kerjasama dengan Pas kerana yakin pengundi parti berkenaan akan memilihnya pada 4 Ogos ini. 

Beliau berkata, ini kerana pengundi Pas inginkan seorang pemimpin yang mempunyai pemikiran Islam selain memiliki sahsiah diri yang baik untuk menjadi ketua mereka.

“Bagi saya terserahlah kepada mereka kalau mahu bergabung, itu hak mereka tetapi saya yakin pengundi Pas yang sejumlah 7,000 orang itu akan mengundi saya. Saya tidak goyang,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang menyatakan akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Pas kawasan sebagai salah satu usahanya mendekati pengundi melayu kawasan berkenaan.

Lokman Noor berkata, perjumpaan tersebut akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi mengajak pemimpin Pas cawangaan Sungai Kandis untuk berkempen bersama-sama untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi, Lokman Noor dan K. Murthy (Bebas).

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhami Shafie yang meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat, 2 Julai lalu.Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu, PKR memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari, Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN