KETUA Kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi meletakkan sasaran kepada skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk mara sekurang-kurangnya ke pentas suku akhir acara bola sepak Sukan Asia 2018 di Indonesia bulan depan.
Katanya, sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai memandangkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu telah mara ke pusingan yang sama pada Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China awal tahun ini.
“Pasukan ini telah beraksi cemerlang pada kejohanan AFC B-23 yang lalu dengan mara ke peringkat suku akhir. Justeru, ia adalah sasaran realistik diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak kami,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya yang turut disertai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
Mengulas lanjut, Azim turut peka dengan kemelut yang melanda FAM dan barisan kejurulatihan skuad B-23 ketika ini kerana dilaporkan ada beberapa pemain yang dipanggil tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing.
“Ketika ini saya boleh sahkan bahawa kami masih belum mendaftarkan nama pemain-pemain bola sepak yang terpilih untuk mewakili negara pada Sukan Asia nanti.
“FAM mengusulkan supaya kami menunggu pengesahan pada 30 Julai nanti apabila sesi latihan rasmi mereka bermula. Apa yang pasti, ia perlu dilakukan segera kerana pihak Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) menyatakan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 3 Ogos depan,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Azim mengakui tidak terlalu risau dengan soal keselamatan atlet yang akan berpusat di Jakarta dan Palembang kerana telah berhubung rapat dengan pihak Kedutaan Malaysia di sana.
“Keselamatan atlet adalah perkara paling mustahak buat saya. Justeru, kami telah berkomunikasi dengan INASGOC dan kedutaan Malaysia di Jakarta untuk mengetahui status lanjut soal keselamatan di sana.
“Kami juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kemungkinan perkara yang tidak diingini berlaku supaya ia boleh dielakkan nanti,” katanya.










