RUU GST (Pemansuhan) 2018 dibaca kali pertama di Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

RUU GST (Pemansuhan) 2018 dibaca kali pertama di Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Kementerian Kewangan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pembentangn RUU itu dilakukan oleh timbalan menterinya, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang bertujuan memansuhkan akta cukai berkenaan.

Sebanyak 10 Fasal dibentangkan di bawah RUU berkenaan yang turut memperuntukkan apa-apa liabiliti yang ditanggung boleh dikuatkuasakan atau apa-apa barang dan perkhidmatan yang genap masa, terlebih bayar serta terkhilaf boleh dipungut, dibayar balik atau diremitkan di bawah akta yang dimansuhkan seolah akta yang dimansuhkan itu tidak dimansuhkan.

Selain itu, Amiruddin turut membentangkan RUU Cukai Jualan 2018; RUU Cukai Perkhidmatan 2018; RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 bagi membolehkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Melalui RUU Cukai Jualan, ia memperuntukkan cukai dikenakan dan dilevikan ke atas mana-mana barang bercukai yang dikilangkan di Malaysia dan dijual, digunakan atau dilupuskan oleh pengilang berdaftar, atau barang bercukai yang diimport ke dalam Malaysia oleh mana-mana orang.

Sementara, RUU Cukai Perkhidmatan yang memperuntukkan bagi mengenakan, melevikan dan memungut cukai perkhidmatan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Menerusi kedua-dua RUU berkenaan, ia menetapkan menteri boleh menetapkan kadar cukai yang hendak dikenakan dan dilevikan serta mengubah atau meminda kadar cukai berkenaan, melalui perintah yang disiarkan dalam warta. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN