KUALA LUMPUR 31 Julai – Kandungan surat yang tular membabitkan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) adalah sahih, namun ia merupakan komunikasi rutin antara kedua-dua pihak.
Menurut Datuk Shaharudin Ali, peguam kepada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abd. Hamid, komunikasi antara kedua-dua pihak telah berlaku sejak bertahun-tahun lalu dan merupakan rahsia negara.
Namun katanya, kandungan komunikasi itu tidak seharusnya dibocorkan dan Hasanah telah memutuskan untuk membuat laporan polis mengenai pembocoran rahsia kerajaan itu.
“Hasanah mahu perkara ini disiasat mengenai bagaimana komunikasi yang berlaku itu boleh dibocorkan.
“Bagi beliau, pembocoron rahsia sebegini boleh menjejaskan keyakinan maklumat rahsia negara” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Hasanah bagaimanapun tidak hadir dalam sidang akhbar itu atas sebab keselamatan dan tidak mahu mendedahkan diri beliau.
Ketika ditanya sama ada surat itu perlu melalui Datuk Seri Najib Tun Razak, Shaharudin berkata, tidak semua perkara perlu melalui Perdana Menteri lebih-lebih lagi membabitkan rutin komunikasi biasa.
Namun katanya, beliau tidak boleh menjawab bagi pihak Najib sama ada bekas Perdana Menteri itu pernah membaca surat tersebut atau tidak. – UTUSAN ONLINE










