KUALA LUMPUR 23 Julai – Saman oleh pemborong barang kemas terkemuka dari Lebanon, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor sebagai suatu tuntutan yang remeh, menyusahkan, menyalahi undang-undang dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Rosmah sehubungan itu akan mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman Global Royalty berhubung dakwaan penghantaran 44 barang kemas dan perhiasan bernilai AS$14.79 juta (RM59.83 juta) kepadanya.
Perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak media melalui satu kenyataan yang dibuat oleh firma guaman, Tetuan Geethan Ram yang mewakili Rosmah yang dinamakan sebagai defendan tunggal.
Sementara itu, pihak defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendakwa, dia tidak pernah membeli barang kemas seperti yang didakwa Global Royalty dalam saman itu.
Sebaliknya barang kemas dan perhiasan tersebut hanya dihantar kepada pihak defendan yang ketika itu isteri Perdana Menteri untuk dilihat tanpa sebarang kewajipan untuk membelinya.
Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun lalu mendakwa, kebiasaannya pihaknya akan menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya itu untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya.
Pembayaran sama ada dibuat sendiri atau melalui pihak ketiga dan memulangkan baki barang kemas yang tidak dipilih kepada pihak plaintif.
Pihak plaintif mendakwa, Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis.
Pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif.










