KUALA LUMPUR 22 Julai – Kerja-kerja pembersihan Sungai Klang untuk program Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) kini mencapai 86 peratus sekali gus bakal menepati indeks kualiti air bersih sungai kepada Kelas IIB (76 peratus) menjelang Disember 2020.
Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Md. Khairi Selamat berkata, ketika ini indeks air Sungai Klang berada pada tahap 68 peratus dan memerlukan sedikit tambahan nilai bagi mencapai bacaan air bersih iaitu 76 peratus.
Jelasnya, pelbagai usaha dijalankan bagi mencapai sasaran itu, termasuk pelaksanaan Program Jangkauan Awam (RoLPOP) yang sudah memasuki fasa kelima.
“Masalah besar kita adalah pembuangan sampah ke dalam sungai. Sungguhpun JPS mengambil pelbagai inisiatif untuk membersih dan merawat air sungai terbabit, ia masih memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak.
“RoLPOP membabitkan komuniti tempatan yang bertujuan mendidik mengenai kejuruteraan dalam pemulihan dan pengindahan sungai,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi RoLPOP 5 Walk-Learn-Share di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, program tersebut membabitkan lebih 50 peserta terdiri daripada pelajar, orang ramai dan komuniti tempatan.
Sesi lawatan yang bermula dari Pasar Seni itu menyaksikan para peserta mempelajari maklumat mengenai RoL termasuk sistem interseptor, kolam dan koridor biru.
Pada acara kemuncak aktiviti, peserta berpeluang menguji kualiti dan menyentuh air sungai yang bersih di kolam koridor biru.
RoL yang mula menjalani proses pembinaan pada tahun 2011 adalah projek permulaan Greater Kuala Lumpur di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang bertujuan mentransformasikan Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi kawasan pinggiran sungai berdaya maju serta memiliki nilai ekonomi tinggi.
Kerja-kerja pembersihan su- ngai yang menjadi skop utama projek tersebut menelan belanja sebanyak RM4.2 bilion dan meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Kerayong sepanjang 110 kilometer.










