KUALA LUMPUR 23 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar faedah kira-kira RM600 juta hingga RM800 juta pada tahun lalu kepada pencarum yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja termasuk kematian, hilang upaya dan kecederaan.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, daripada jumlah itu 65 peratus kemalangan itu melibatkan golongan muda berusia bawah 40 tahun.
“Sebanyak 80 peratus daripada mereka adalah golongan lelaki,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan peralatan sempena Kempen Kesedaran Jalan Raya Pemutihan Blackspot inisiatif Perkeso bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu pejabat Perkeso di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perkeso Tan Sri Dr. Aseh Che Mat dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman (Kepolisan Am), Asisten Komisioner Md. Dali Wahid. – UTUSAN ONLINE










