Rita Sosilawati kongsi rahsia kejayaan - Utusan Malaysia

Rita Sosilawati kongsi rahsia kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada usia 25 tahun, wanita ini menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengarah Urusan legasi kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati, Nouvelles Visages (NV). Pun begitu, gelaran jutawan kosmetik bukan syarat untuk dia terus selesa dibuai kemewahan yang ada. Bahkan pangkat dan harta itu bukan tiket mudah untuk meraih segalanya atau lupa diri. Semuanya bermula daripada usaha dan kerja keras.

Sebagai anak sulung, Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati, 34, mengambil tanggungjawab itu walaupun mengakui berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Bercerita tentang memori ketika mengambil alih syarikat NV, dia tidak dapat melupakan orang sekeliling yang banyak membantu mereka ketika susah, lebih-lebih lagi keluarganya tidak henti-henti memberi sokongan kepada Rita dan adik-beradiknya.

Bayangkan ketika itu akaun syarikat ditutup dan dibekukan oleh pihak bank sebaik-baik sahaja peristiwa itu tersebar. Duit syarikat tidak boleh dikeluarkan dan pening memikirkan bagaimana hendak membayar gaji pekerja lebih-lebih lagi nak dekat raya.

Rita akhirnya meminta semua adik-beradik mengeluarkan simpanan masing-masing untuk membayar gaji pekerja.

“Kini saya dan adik-adik telah mengambil alih legasi perniagaan yang ditinggalkan arwah ibu.

“Masing-masing mempunyai peranan. Sebagai pengarah, saya akan memastikan masuk ke pejabat atau kilang setiap hari, bertemu pelanggan bergantung pada temu janji.

“Perancangan utama adalah untuk menjadikan Nouvelles Visages terus kekal relevan untuk pengguna di Malaysia selain meneroka pasaran antarabangsa.

“Saya juga merangka untuk menjenamakan semula produk agar kekal bersaing dengan produk tempatan dan antarabangsa yang lain selain tampil memperkenalkan produk-produk baru sebagai pilihan ekstra kepada pengguna,” katanya yang turut memperkenalkan dua produk baharu NV berbentuk mask (topeng wajah).

Tidak pernah menoleh ke belakang, Rita yang mewarisi sifat tegas arwah ibunya kini melangkah setapak dengan menceburi perniagaan beg tangan.

Beg tangan eksklusif

Menerusi Eree International Sdn. Bhd., Rita menjadi pengeluar beg tangan eksklusif jenama Victoria Sloane. Beg ini diinspirasikan dalam bentuk fesyen yang fleksibel untuk wanita secara kasual mahupun formal.

Produk ini menembusi pasaran dalam talian dan butik fizikal FashionValet. Optimis dengan sasaran jualan, Rita mahu memperkukuhkan jenama Victoria Sloane dengan memenuhi kehendak pasaran termasuk mengembangkan pelbagai rekaan menarik dan bersesuaian untuk wanita dengan latar belakang berbeza.

“Saya sangat sukakan beg tangan dan merupakan seorang pengumpul, tidak kiralah beg tangan berjenama atau tidak. Saya memilih untuk membuat beg tangan kerana sudah ramai yang membuat pakaian dan tudung.

“Saya suka melihat wanita cantik dan mahu mereka semua nampak cantik memakai beg tangan Victoria Sloane. Beg tangan ini boleh dipelbagaikan dan boleh dijadikan empat dalam satu, iaitu bertali panjang, disangkut ke bahu, kasual dan formal.

“Beg dibuat dengan tangan sepenuhnya dan berkualiti. Terdapat banyak bahagian di dalam beg tangan yang boleh menyimpan barang yang diperlukan oleh seseorang wanita,” kata Rita yang akan mengeluarkan rekaan terbaharu setiap dua atau tiga bulan.

Wanita berjiwa kental ini turut berpesan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan supaya menghasilkan produk yang mengikut peredaran zaman dan sentiasa peka dengan perkembangan industri.

“Jangan melabur untuk perkara yang salah dan perlu bijak melakukan pemasaran.

“Mungkin ramai beranggapan kerja saya jadi lebih mudah sebab mewarisi nama yang sudah besar, tapi hakikatnya cabaran untuk saya lebih hebat kerana untuk mempertahankan sesuatu kejayaan adalah lebih sukar daripada membinanya.

“Apa pun saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi bukan saja daripada adik-beradik bahkan seluruh kakitangan NV,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN