Remaja tunggang motosikal lawan arus maut kemalangan - Utusan Malaysia

Remaja tunggang motosikal lawan arus maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di Jalan Paloh-Banggol Tuan Muda berhampiran Pulau Sekati di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, Ahmad Luqmanul Hakim Yusof, 15, disahkan maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan. 

Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar Tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad itu menunggang motosikalnya secara melawan arus sebelum bertembung dengan kenderaan empat roda jenis Mitsubishi Triton berkenaan.

“Difahamkan mangsa bersama kira-kira 30 remaja bermotosikal yang lain menunggang motosikal secara melawan arus kerana terkejut melihat kehadiran anggota Unit Rondaan Bermotosikal di Bulatan Paloh dekat sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang remaja terbabit dikatakan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Jenazah mangsa yang berasal dari Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga di sini itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN