SUNGGUH cantik si anak gadis Anak dara Wak Masdo Selamat datang ke Sungai Kandis. Jangan lupa makan gado-gado.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis mendapat nama sempena nama sebuah kampung mempunyai nama yang sama di kawasan DUN di bawah Parlimen Kota Raja.
Kita lupakan sejenak tentang kisah politik di kawasan tersebut menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis Ogos depan. Apa yang perlu difikirkan oleh rakyat di Sungai Kandis yang turut merangkumi Kampung Jawa, Kampung Jalan Kebun, Kampung Bukit Naga dan taman-taman sekitar adalah tentang agenda perpaduan yang diterjemah oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas bagi memastikan kesyumulan agama Islam ditegakkan di negeri ini.
Kerjasama BN dan Pas dalam bentuk memberi laluan untuk BN bertanding diharap dapat diterjemah sama menerusi kertas undi juga. Jika diikutkan daftar rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar adalah 50,847 orang dan 70 peratus atau hampir 37,000 adalah orang Melayu selain selebihnya adalah pengundi kaum India dan Cina.
Jika mood sama dibawa ke pusat pengundian dibawa oleh pengundi di DUN tersebut sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), maka insya-Allah orang Melayu dan lain-lain kaum akan sekali lagi mengundi PKR.
Namun pasca PRU-14 segalanya sudah berubah dari sudut manifestonya sehinggakan segala perkara yang menyentuh umat Islam dan orang Melayu dipersoal oleh pelbagai pihak. Penduduk di DUN Sungai Kandis seharusnya melihat di luar kepompong mereka sejenak dan melihat sekeliling rumah mereka yang penuh dengan pusat tahfiz. Apabila ada pihak yang mempersoalkan kewujudan pusat tahfiz yang mengajar hafazan al-Quran dan bahasa Arab, tidakkah kita bimbang institusi ini hilang dari sekeliling kita.
BN sebagai Kerajaan Persekutuan telah terbukti berjaya mentadbir institusi agama termasuk Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) di Kampung Jawa di dalam DUN Sungai Kandis dan Parlimen Kota Raja.
Tidakkah masyarakat di Kota Raja sedar Kisas adalah sekolah terbaik di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa kali di negara ini?
Kejayaan ini bukan sahaja atas usaha individu tetap terhasil berkat perpaduan masyarakat beragama Islam yang bersatu padu di DUN Sungai Kandis dan Parlimen Kota Raja.
Adakah kita sanggup sekali lagi menyerahkan undi kepada pihak selain dari parti BN yang ditunjangi UMNO yang mendapat laluan dari Pas atas prinsip kerjasama demi agama Islam yang lebih terjamin kelangsungan perjuangan pemimpinnya.
Kita akur dengan fakta pihak PKR meletakkan calon yang merupakan lulusan aliran agama dan mempunyai tahfiz sendiri. Namun kita masih kabur dengan pendirian pihak yang berada di bawah bumbung parti yang tidak menjadikan Islam sebagai tunjang perjuangan sebagaimana UMNO dan Pas.
Ibarat gado-gado, memang pedas tetapi bermacam ramuan menjadikan ia sedap. Begitu juga kenyataan untuk kita telan. Adakah kerjasama antara umat Islam dengan Pas dan UMNO yang sanggup berunding mencari titik perpaduan harus disia-siakan oleh lebih 70 peratus pengundi Melayu di DUN Sungai Kandis kerana marahkan harga barang naik dan isu politik yang hampir selesai.
Sebaiknya, bagi memastikan suara pembangkang dalam kalangan umat Islam lebih lantang di DUN, berilah peluang untuk BN menerajui kerusi Sungai Kandis. Demi agenda perpaduan ummah, kita pasti suara umat Islam sebagai pembangkang lebih berkesan dari suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang ditelan oleh arus sokongan ADUN kerajaan. Beri peluang DUN Selangor mempunyai barisan pembangkang yang jitu. Demi agama Islam yang kita cintai dunia dan akhirat.










