KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia antara 14 orang yang terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan destinasi pelancongan popular Pulau Lombok, Indonesia semalam.
Rakyat Malaysia yang terbunuh ialah Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, iaitu salah seorang daripada 18 warga Malaysia yang mendaki Gunung Rinjani.
Selain Siti Nur Iesmawida, enam pendaki Malaysia dilaporkan turut mengalami kecederaan akibat gempa tersebut.
Menurut Ketua Polis Lombok Timur, M. Eka Fahurrahman, mangsa terkorban akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan inap desa yang didiami.
“Sebanyak 18 warga Malaysia dalam misi mendaki Gunung Rinjani, enam cedera manakala yang lain selamat. Jenazah mangsa kini ditempatkan di Klinik Sembalun, Lombok,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pendaki Malaysia, Khairul Azim, 30, berkata, sewaktu kejadian beliau bersama 13 lagi rakan dari Malaysia sedang menikmati sarapan di Base Camp Savana yang terletak di kaki Gunung Rinjani.
“Kira-kira pukul 6.47 pagi, kami dikejutkan dengan bunyi dan gegaran yang kuat selama lebih kurang dua minit sehingga mengakibatkan panik dalam kalangan pendaki.










