AMPANG – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli semalam mengumumkan senarai barisan pasukan Reformasi 20 Tahun bagi sesi pemilihan parti itu bulan depan yang akan meneruskan agenda reformasi PKR.
Pengundian selama sembilan minggu bermula 24 Ogos dan keputusan akan diumumkan ketika Kongres Nasional PKR pada November depan.
Rafizi yang menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR berkata, Naib Presiden parti yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul termasuk dalam pasukan tersebut bagi pertandingan kerusi Naib Presiden.
Beliau berkata, dua lagi calon Naib Presiden yang menyatakan sokongan pada beliau ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.
“Pasukan Reformasi 20 Tahun ini akan memastikan perjuangan reformasi yang bermula pada tahun 1998 akan diteruskan dalam perjuangan parti demi mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri kelapan.
“Pencalonan akan dibuka pada minggu hadapan dan semua pasukan yang diumumkan pada hari ini (semalam) akan menyerahkan borang pencalonan sebelum tarikh tutup pada 5 Ogos depan,” katanya pada Majlis Reformasi 20 Tahun di Hotel De Palma di sini semalam.










