Proton kembali mengeksport kenderaan - Utusan Malaysia

Proton kembali mengeksport kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) mengembalikan semula program mengeksport kenderaannya ke Asia Barat menerusi penghantaran 453 unit kenderaan ke Aqaba, Jordan.

Ia merupakan usaha pertama yang dilakukan sejak syarikat kereta nasional itu menjalin usaha sama dengan Zhejiang Geely Holding Group (Geely).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed berkata, kereta yang akan tiba di Aqaba kemudiannya akan diedarkan ke Iraq dan ke negara jiran lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penghantaran sulung ini terdiri daripada model-model yang mempu­nyai kedudukan kukuh di pasaran Asia Barat.

“Malah keterujaan terhadap kereta-kereta ini terbukti apabila terdapat kelab pemilik kereta yang aktif di rantau berkenaan meskipun jumlah eksport yang sedikit beberapa tahun lalu.

“Langkah ini merupakan titik permulaan buat Proton kerana kami kini meneruskan dan meningkatkan penghantaran kereja ke Asia Barat pada bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersempena penghantaran kereta untuk dieksport semula menerusi kapal kargo Grand Diamond di Westport, Pelabuhan Klang, Selangor di sini semalam.

Eksport terbesar terakhir Proton adalah ke Mesir pada tahun 2015.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, walaupun pasaran Asia Barat memandang tinggi pada produk-produk dari negara Islam seperti Malaysia dan permintaan bagi kereta akan terus berkembang ekoran ekonomi rantau itu yang lebih maju, namun pasaran ASEAN akan kekal sebagai keutamaan perniagaan eksport Proton.

“Kami teruja dengan peluang yang ada di rantau ini, malah Proton turut memanfaatkan operasi rangkaian luar negara Geely untuk meningkatkan keberkesanan kos operasinya.

“Syarikat juga sedang mengenal pasti semua peluang yang ada untuk mengembangkan jumlah eksport,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×