PULAU PINANG 3 Julai – Pembinaan projek tebatan banjir Sungai Jelutong Diversion (Bawah Tanah) di sini dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah, penduduk negeri ini secara keseluruhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari berkata, hal ini demikian kerana, dengan adanya projek terbaharu bernilai RM13.3 juta yang dibiayai kerajaan negeri itu, kadar aliran air ke hilir Sungai Pinang di sini dapat dikurangkan berbanding sebelumnya.
“Pengurangan ini seterusnya dapat mengurangkan impak jika berlaku banjir hingga bermula dan siap sepenuhnya RTB (Rancangan Tebatan Banjir) di Lembangan Sungai Pinang nanti (yang dijangka pada 2020),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Sungai Jelutong Diversion (Bawah Tanah) di Jalan Tengku, Persimpangan Jalan Jelutong dan Solok Perak, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Mohd. Azmin Hussin; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Shahabuddin Mohd. Muhayidin serta beberapa kenamaan lain.
Difahamkan, projek tersebut yang juga bertujuan menaik taraf loji pembetungan sedia ada di situ menggunakan teknologi terkini dan dijangka siap menjelang Oktober 2019.-UTUSAN ONLINE









