PASIR SALAK 13 Julai – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Selangor pada 4 Ogos ini merupakan platform terbaik untuk membentangkan pelbagai kelemahan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang masih gagal dilaksanakan.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut menyifatkan PRK tersebut amat menarik kerana rakyat semakin resah kerana janji-janji manis yang ditaburkan (PH) kepada mereka masih banyak yang belum ditunaikan meskipun tempoh 100 hari semakin hampir.
Malah kata Tajuddin, kebanyakan rakyat juga tidak begitu merasai perubahan yang dibawa oleh Pakatan Harapan meskipun ada janji yang telah ditunaikan mereka selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Meskipun Pakatan Harapan memenangi PRU-14 tetapi tidak bermakna Barisan Nasional (BN) tidak ada peluang sebab kita mempunyai banyak modal dan isu yang boleh diketengahkan dalam kalangan pengundi yang menunjukkan kelemahan begitu serius dan kritikal.
“Saya rasa ramai pengundi tidak senang hati, tidak bersetuju dengan keputusan- keputusan yang dibuat mereka, antaranya ancaman kepada institusi Raja-raja Melayu, orang Melayu, kepentingan agama Islam dan pekerja Melayu. Kita boleh bawa isu ini untuk pengadilan kepada pengundi di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada 104 bakal jemaah haji kawasan Parlimen Pasir Salak di Pusat Khidmat Chenderong Balai dekat sini hari ini.
Tambah Tajuddin, rekod perkhidmatan Pakatan Harapan juga sehingga kini tidak menunjukkan prestasi yang baik untuk dibentangkan sebagai kempen dalam PRK berkenaan.
Kata beliau, kaum Cina dan India juga perlu sedar bahawa sejak Pakatan Harapan memerintah, tiada apa yang telah dilakukan mereka untuk menunaikan janji pilihan raya, malah dasar yang jelas untuk membangunkan ekonomi rakyat juga masih tidak dapat dilihat.
“Janji turunkan kos sara hidup dan harga barang-barang saya lihat tidak tercapai. Begitu juga untuk hapuskan tol juga tidak dilakukan, malah harga minyak juga tidak turun-turun. Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga tidak dihapuskan, yang mereka tahu korek sana, korek sini.
“Tidak payah tunggu sehingga 100 hari sebab janji-janji yang mereka buat itu kononnya sehari lepas menang pun sudah boleh buat,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan penggunaan logo UMNO pada PRK berkenaan, Tajuddin berkata, cadangan itu boleh dibuat jika ia membawa lebih banyak kelebihan untuk BN memenangi PRK berkenaan.
Menurutnya, paling penting strategi BN harus betul iaitu dari segi pemilihan calon, penggunaan logo, bertanding satu lawan satu atau tiga penjuru.
“Semuanya kena dikaji secara mendalam apakah pilihan kita yang memberikan peluang lebih besar untuk kita menang.
“Kalau cara itu bakal memihak pada kita, saya rasa tidak salah untuk kita lakukan cadangan berkenaan,” katanya.










