KUALA LUMPUR 13 Julai – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan dilihat bakal memberikan tekanan yang lebih kepada Pakatan Harapan, khususnya PKR untuk terus mempertahankan kerusi itu.
Sebaliknya bagi UMNO, andai pihaknya dapat mengurangkan majoriti yang diperoleh PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia sudah cukup memberi isyarat jelas kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat tidak gembira dengan dasar dan polisi ‘Malaysia baharu’ terutama apabila melibatkan hal-hal berkaitan orang Melayu, Islam dan raja-raja.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, kempen kali ini disifatkan sebagai cukup berbeza berbanding PRU-14 lalu, di mana UMNO kini tidak mampu menjanjikan perubahan dasar dan polisi kerana tiada lagi di koridor kuasa yang boleh memutuskan hal berkenaan.
Menurutnya, PRK kali ini diistilahkan sebagai sesuatu yang penting di mana pecahan kaum pengundi juga dilihat cukup menarik.
“Ia boleh menjadi kayu ukur terbaik untuk kepemimpinan tertinggi parti dalam menilai penerimaan rakyat terhadap UMNO selepas PRU-14.
“Kempen kali ini dijangka lebih mudah kerana kerajaan pada hari ini hampir gagal kesemuanya dalam menunaikan janji 100 hari mereka ditambah pula kegagalan membela untung nasib orang Melayu dan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










