PRK: Menteri Besar serah kepada DUN, SPR - Utusan Malaysia

PRK: Menteri Besar serah kepada DUN, SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 2 Julai – Menteri Besar, Amirudin Shari menyerah­kan kepada pihak berwajib untuk melaksanakan langkah-langkah perlu bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Sungai Kandis susulan kematian penyandang­nya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat, hari ini.

Amirudin Shari

Ketika ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Amirudin yang juga Setiausaha PKR itu memberitahu, proses tersebut hanya akan dilakukan oleh DUN Selangor yang akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas ini.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan, buat masa ini pihaknya tidak mahu memberikan fokus utama kepada isu PRK itu bagi menghormati perasaan keluarga serta jenazah Mat Shuhaimi yang baru sahaja meninggal dunia kira-kira pukul 11.10 pagi ini.

“Saya percaya pihak berwajib iaitu DUN Selangor dan SPR akan melaksanakan urusan seterusnya (PRK DUN Sungai Kandis) selepas ini. Buat masa ini, kita selesaikan urusan jenazah Allahyarham terlebih dahulu yang mana kerajaan negeri turut adakan majlis tahlil selama tiga hari di masjid ini.

“Mungkin selepas itu kita akan bincang selanjutnya (PRK) dengan serius,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut memaklumkan, kerajaan negeri akan membantu operasi Pusat Khidmat DUN Su­ngai Kandis dalam menyelesaikan masalah rakyat di kawasan berkenaan sehingga PRK dilaksanakan.

Kerusi DUN Sungai Kandis ketika ini kosong setelah Mat Shuhaimi meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat menghidap kanser limfoma tahap empat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mat Shuhaimi memenangi kerusi itu dengan majoriti 12,480 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Datuk Kamaruzzaman Johari daripada Barisan Nasional (BN), Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN