Populariti Husna lonjak nama Niena - Utusan Malaysia

Populariti Husna lonjak nama Niena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Niena Baharun ketika ini memang panas. Masakan tidak, setiap petang Isnin hingga Jumaat, peminat tegar drama Melayu akan ‘melekat’ di kaca televisyen sambil melontarkan amarah kepada watak Husna yang dibawakan untuk drama bersiri, Jangan Benci Cintaku.

Bukan itu sahaja, pelbagai komen-komen ‘mengecam’ Husna dilemparkan dalam media sosial gara-gara sakit hati melihat karakter itu selain membenci sikap watak heronya, Shah yang didukung oleh Saharul Ridzwan serta Nek Pah (Azizah Mahzan).

Malah tidak dinafikan watak drama terbitan Suhan Movies & Trading itu membuatkan populariti Niena kembali memuncak selepas agak sepi sejak namanya dikenali menerusi drama Sayangku Kapten Mukriz.

Mengakui teruja dengan respons yang diterima daripada penonton namun aktres cantik ini jujur memberitahu masih bingung dengan watak Husna yang tular secara tiba-tiba.

“Kelu dan (masih) bingung (dengan populariti watak Husna),” katanya kepada Mega HITS.

“Namun yang pasti, pengarah drama ini, Pali Yahya bersama-sama penulis skrip, Farhana Fauri menggembleng tenaga memerah otak memikirkan idea terbaik untuk mengembangkan setiap watak yang terlibat.

“Bukan itu sahaja, setiap barisan pelakon yang membintangi naskhah ini telah memberikan komitmen terbaik memastikan mutu persembahan masing-masing meninggalkan impak.

“Saharul Ridzwan dan Azizah Mahzan merupakan rakan gandingan yang banyak membantu saya menghayati watak Husna dengan lebih baik tidak kira dari sudut emosi, bahasa tubuh dan sebagainya,” ujar Niena yang memberi pujian kepada setiap rakan lakonnya dalam drama tersebut.

Malah isteri kepada Aliff Firdaus Abdul Hadi itu turut mahu memberi penghargaan kepada seluruh pasukan termasuk kru produksi yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas masing-masing dalam menghasilkan karya berkenaan.

“Kejayaan sesebuah drama pastinya bukan disebabkan seorang individu sahaja tetapi hasil kerja berpasukan. Sebab itulah saya mahu semua pihak yang terlibat diberi penghargaan sewajarnya,” jelasnya.

Selain Niena, Saharul dan Azizah, barisan pelakon drama yang disiarkan di slot Akasia di TV3 itu turut dibintangi Zahirah MacWilson, Izzue Islam, Daler Yusof, Amelia Henderson dan Luqman Hafidz.

Nikmati hidup

DALAM pada itu, Niena Baharun, 25, mengakui, dia sedar populariti dirinya semakin pudar selepas berakhirnya drama Sayangku Kapten Mukhriz yang disiarkan di slot yang sama suatu ketika dahulu.

Akur dengan situasi tersebut, namun kata empunya nama Amaniena Kamarul Baharun ini, secara peribadi dia selesa dengan keadaan itu apatah lagi selepas bergelar isteri.

Ini kerana menurut Niena, penangan kemasyhuran yang diraih Sayangku Kapten Mukhriz ketika itu telah membuatkan jadual hariannya padat dengan aneka macam acara mahupun aktiviti.

“Tidak kiralah acara rasmi, aktiviti santai atau sebarang kegiatan, badan saya alami keletihan melampau dan lesu.

“Itu belum lagi tuntutan kerja yang banyak menggunakan kudrat empat kerat. Memang tak dapat dibayangkan impak masa itu.

“Bukan merungut malah saya sentiasa memanjat rasa syukur kepada-Nya atas setiap limpahan rezeki yang saya terima.

“Malah kerana drama itu juga telah meletakkan saya di tempat saya berada pada hari ini,” katanya optimis.

Ujar Niena, sebaik merasakan popularitinya sedikit menurun setahun dua kebelakangan ini, dia kembali menikmati gaya hidup yang lebih menggembirakan dan menenangkan.

Walaupun sebelum drama Jangan Benci Cintaku meletup dan menaikkan namanya kembali, rezeki wanita berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dalam bidang lakonan masih konsisten.

“Kebanyakan drama lakonan saya disiarkan pada saluran kurang popular. Justeru tidak mustahil ramai beranggapan saya sudah berhenti berlakon.

“Rasanya jadual seni saya tidak jauh bezanya dari dulu sampai sekarang. Cuma selepas berkahwin, memang saya hadkan kerjaya lakon untuk menyeimbangkan tanggungjawab,” katanya lagi.

Fokus kelahiran anak

Menyentuh perkembangan terkini dirinya yang sedang hamil, Niena Baharun tak mampu menyembunyikan keterujaannya untuk menimang cahaya mata sulung hasil pernikahannya pada 1 Februari lalu.

Kongsinya, kandungan telah memasuki usia enam bulan dan Niena berterima kasih kepada suami tercinta kerana mengambil berat terhadap kesihatannya dan bayi.

“Dari semasa ke semasa dia bertanyakan keadaan saya untuk memastikan saya dan kandungan sihat. Jika kesihatan terganggu disebabkan sakit tidak serius pun dia risau.

“Saya bertuah kerana memiliki suami bersikap prihatin sepertinya. Mengenalinya pun, Aliff seorang yang tidak banyak cakap dan senang untuk diajak berbincang,” tambahnya.

Niena juga memberitahu, dia telah memutuskan untuk fokus dengan kelahiran bayinya yang dijangka November depan dan mahu berehat seketika daripada lapangan seni.

Mengenai kelengkapan bayi, menurutnya telah dibuat secara berperingkat-peringkat dan sehingga hari ini hampir kesemua persiapan telah dilakukan.

“Ada banyak masa lagi menjelang detik saya dijangka bersalin. Jantina anak pun sudah diketahui. Bagaimanapun, saya dan suami telah sepakat untuk merahsiakan dulu jantina anak kami sehinggalah dia dilahirkan kelak,” akuinya.

Menurut Niena, ketika ini dia banyak menghabiskan masa berehat di rumah sementelah dirinya kini sedang sarat dan badannya juga mudah berasa letih.

“Kadang-kadang buat kerja rumah yang ringan pun mengah. Jika saya baring, terus boleh terlelap. Sebab itu saya hadkan pergerakan. Sekarang ini saya tidak mengalami masalah kesihatan yang teruk cuma tekak menginginkan makanan Kelantan,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN