BANGKOK – Biro Pencegahan Narkotik Thailand (NSB) mencapai kejayaan besar baru-baru ini apabila mematahkan cubaan menyeludup 400kg ‘Ice’ (Crystal Methaphetamine) dan 77kg heroin bernilai berbilion baht ke Malaysia.
Kejayaan itu menyaksikan enam suspek, termasuk seorang wanita, ditangkap dalam operasi berasingan di Hatyai, Chumpon dan Nakhon Si Thammarat pada Khamis dan Jumaat lepas.
“NSB percaya dadah itu dirancang untuk dihantar ke Malaysia. Sebuah lori yang membawa dadah berkenaan dipintas di sebuah stesen minyak di wilayah kecil Kuanlong, Hatyai,” kata ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisaisuk pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan rapi, para pegawai NSB menemukan dadah itu disembunyikan di bawah paip PVC yang dibawa lori berkenaan, dan susulan itu, pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut pegawai itu, tiga lagi suspek, yang pihak berkuasa percaya bertindak sebagai “pasukan peninjau” bagi sindiket terbabit, ditangkap di daerah Thungsong, Chumpon, manakala dua lagi diberkas di Nakhon Si Thammarat. – Bernama










