SHAH ALAM – Polis Selangor mengesahkan akan menyiasat elemen kecuaian terhadap kematian bayi lelaki lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang ditemui di dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selayang pada Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat ini siasatan yang dijalankan terhadap suspek kematian Adam Rayqal mempunyai elemen luar daripada kawalan pengasuh tersebut.
“Kita juga melihat daripada sudut kecuaian yang boleh mengakibatkan kematian.
“Siasatan kini 90 peratus telah lengkap termasuk mengambil keterangan daripada ibu bapa mangsa serta keluarga kanak-kanak yang mendakwa menyaksikan suspek menggoncang badan serta mengetuk kepala,” katanya pada sidang akhbar di Ibh Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Mazlan menegaskan bahawa suspek utama iaitu pengasuh terbabit kini disambung reman selama tujuh hari sehingga 17 Julai ini selepas tempoh tahanan berakhir semalam.
Ujarnya, manakala rakannya telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Pihak pendakwa raya sedang meneliti kes ini dan kita tunggu keputusan mereka (berhubung pertuduhan),” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan suspek berusia 33 tahun itu yang memandikan mangsa dikatakan tergelincir dalam tandas menyebabkan kepala Adam Rayqal terhantuk pada simen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner sebelum ini turut memaklumkan hasil bedah siasat terhadap mayat Adam Rayqal disahkan mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sebelah kiri mangsa. – K! ONLINE










