Polis rampas arak seludup bernilai RM68,548 - Utusan Malaysia

Polis rampas arak seludup bernilai RM68,548

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Sebanyak 7,746 tin serta 48 botol minuman keras seludup bernilai RM68,548 dirampas polis marin selepas menahan dua lelaki menerusi dua operasi serbuan di sini semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad berkata, pihaknya merampas sebanyak 618 tin dan 48 botol arak seludup menerusi serbuan pertama pada pukul 11.50 pagi semalam di sebuah premis pasar mini di Jalan Haji Ahmad di sini.

“Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun ketika melakukan serbuan pertama yang membawa kepada serbuan kedua di kawasan sama berselang kira-kira sejam kemudian.

“Serbuan kedua pada pukul 1.15 tengah hari di sebuah gudang di Jalan Haji Ahmad pula berjaya merampas 7,128 tin minuman keras pelbagai jenama dan menahan lelaki berusia 59 tahun,” katanya.

Bercakap ketika sidang akhbar di Jeti Polis Marin Wilayah Tiga di sini pagi tadi, Norzaid menambah, semua minuman keras tersebut memiliki label pengecualian cukai dipercayai diseludup dari kawasan bebas cukai.

“Siasatan lanjut masih diteruskan ke atas kedua-dua suspek mengikut Akta Kastam 1967,” tambah beliau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN