PMB semak semula pelaburan - Utusan Malaysia

PMB semak semula pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelaburan Mara Bhd. (Pelaburan Mara) sedang menyemak semula sektor pelaburannya dengan memberi tumpuan kepada industri yang mampu memberi pulangan yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nazim Rahman (gambar) berkata, berdasarkan semakan semula yang dilakukan kerajaan terhadap beberapa projek mega dan projek infrastruktur, pihaknya akan mengurangkan pelaburan dalam sektor pembinaan kerana ia dilihat sedikit berisiko pada masa ini.

“Kumpulan sebaliknya akan memberi penekanan kepada sektor yang sedang meningkat seperti runcit atau pengguna.

“Ia turut didorong oleh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar selain sektor minyak dan gas (O&G) berpotensi susulan pengukuhan harga minyak mentah dunia dan teknologi kewangan serta e-Dagang,” katanya dalam satu temu bual di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Ketika ini, Kumpulan Pelaburan Mara mempunyai portfolio pelaburan yang seimbang dalam sektor-sektor seperti pembinaan, teknologi, O&G, perdaga­ngan dan barangan pengguna.

Pelaburan Mara merupakan syarikat pela­buran strategik dan perkhidmatan kewangan yang dimiliki sepenuh­nya oleh Majlis Amanah Rakyat.

Ia memiliki enam anak syarikat iaitu PMB Tijari Bhd., PMB Investment Bhd., PMB Nominess (Tempatan) Sdn. Bhd., PMB Assets Sdn. Bhd., PMB Consulting Sdn. Bhd. dan terbaharu, PMB Analytics Sdn. Bhd.

Selain itu, Nazim menjelaskan, pihak­nya komited untuk menyelaras semula portfolio perniagaannya dalam usaha kumpulan menjadi syarikat penyedia perkhidmatan kewangan yang tulen pada masa akan datang.

Beliau menerangkan, untuk tujuan tersebut, syarikat akan mengurangkan pendedahan dalam pelaburan proprietari dan meningkatkan perniagaan dalam segmen perkhidmatan kewangan.

“Pada masa ini, kira-kira 80 peratus pelaburan kami adalah dalam segmen proprietari dan bakinya terdiri daripada perniagaan pembiayaan kewangan, pengurusan dana serta khidmat nasihat pelaburan.

“Bagi tempoh lima tahun akan datang, kami menyasarkan segmen pembiayaan kewangan akan menjadi penyumbang utama kepada keuntungan kumpulan dengan kadar sumbangan kira-kira 60 peratus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN